Tuesday, March 9, 2010

PERUMPAMAAN ORANG BUTA DAN CELIK DALAM MENERIMA KEBENARAN.

Firmam Allah yang bermaksud: Bertanyalah kepada mereka,adakah sama orang yang buta dengan yang celik?tidakkah kamu mahu berfikir? (surah Al-An'am ayat 50).

Setelah Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan kebenaran Islam yang disampaikan Baginda s.a.w. dan sifat Baginda sebagai seorang manusia yang diutuskan sebagai Rasul,maka Allah Taala memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. bertanyakan orang kafir perbezaan antara orang yang buta dengan yang celik sebagai perumpamaan orang yang sesat dan mengikut petunjuk Islam.

Ertinya adakah sama sifat dan tingkah lakunya mereka yang sesat dengan mereka yang mendapat petunjuk Islam?

Sudah pasti tidak sama sekali,walaupun mereka bangsa atau keturunan yang sama dan warna kulit serta berbahasa dengan bahasa yang sama.

Begitu juga tidak sama orang yang memperjuangkan Islm dan mereka yang sebaliknya.Dengan sebab itu Allah turut menyifatkan mereka dalam ayat yang lain yang bermaksud "Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu wahai Muhammad perkara yang benar,sama dengan orang yang buta mata hatinya?sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang berakal sempurna."(surah Ar-Ra'du ayat 19)

Orang yang mahu memikirkan soal perbezaan antara kedua golongan tersebut hanyalah orang yang mempunyai akal yang sempurna yang boleh membezakan mana yang benar dan sesat.Justeru itu kesempurnaan akal seseorang manusia bergantung kepada sejauh mana dia menggunakan akal fikiran itu untuk mengenal pasti mana yang betul dan mana yang sesat,bukan berdasarkan hawa nafsunya sendiri.

Justeru Islamlah yang menjadikan akal manusia itu sempurna dan benar,tidak menyeleweng dari jalan yang sebenar yang perlu manusia ikut di dunia ini sebelum mendapat kebahagiaan di hari akhirat kelak.

Seterusnya Allah berfirman "Dan berilah amaran dengan A-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka pada hari kiamat"(surah Al-An'am ayat 51).

Dalam ayat ini Allah taala turut memerintahkan nabi Muhammad s.a.w. supaya memberi peringatan dan amaran dengan Al-Quran kepada mereka yang takut menghadapi Hari Akhirat supaya mereka sentiasa bertakwa kepada Allah di dunia ini dengan mematuhi segala perintahNya dan menjauhkan diri dari laranganNya.

Jangan pula ketika hidup di dunia menjadi manusia yang tidak sedar diri tentang tanggungjawab mengabdikan diri kepada Allah.

Yang penting adalah melaksanakan suruhanNya dan suruhan RasulNya supaya mereka dihimpunkan di akhirat di hadapan Allah dengan mendapat syafaat dan rahmat dariNya kerana kepatuhan tersebut.

Dalam ayat lain Allah menyifatkan mereka dengan firmannya "Sesungguhnya orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada kemurkaan Tuhan mereka."(surah Al-Mukminin ayat 57.)

Dalam ayat ini Allah Taala menerangkan perihal orang-orang yang beriman yang taat mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya,bahawa merekalah yang segera mengerjakan kebaikan dan berada di barisan depan dalan pencapaian kehidupan di dunia dan akhirat.

Allah juga turut berfirman "Dan takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soal jawab dan perhitungan amal pada hari akhirat."(surah Ar-Ra'du ayat 21)

Seterusnya Allah berfirman "Tiadalah bagi mereka seorang penolong pun dan tidak juga seorang pemberi syafaat yang lain dari Allah supaya mereka bertakwa."(surah Al-An'am ayat 51).

Ertinya tidak ada penolong yuang boleh memberi pertolongan untuk membebaskan diri mereka dari azab merlainkan Allah sahaja.Tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi syafaat kepada seseorang di hari akhirat kelak melainkan dengan izin Allah Taala.

Justeru kebergantungan manusia kepada Allah adalah sesuatu yang sudah pasti buat selama-lamanya sama ada di dunia mahupun di akhirat kerana manusia adalah hamba dan makhlukNya.

No comments:

Post a Comment