Thursday, March 18, 2010

Dunia rosak akibat penjajahan dan Zionis.

Semua di kalangan kita menyedari bahawa dunia Islam terletak dalam kedudukan strategik di peta dunia.Negara-negara umat islam kaya dengan hasil bumi semulajadi yang yang turut sama memberi sumbangan kepada seluruh dunia sama ada timur ataupun barat.

Ummah merupakan tenaga manusia yang memikul amanah dakwah agama Islam,yang mengajak kepada keamanan,keadilan dan persaudaraan sesama manusia.Tenaga kerja umat Islam pula dapat menjana tenaga kerja mahir dalam pasaran global yang luas.

Umat islam juga merupakan umat yang mampu membangunkan tamadun manusia dan mentajdidkannya.Namun kesan dan pengaruh penjajah masih lagi utuh dan teguh.

Situasi ini menghalang usaha murni untuk membangunkan aspek kerohanian dan material umat Islam itu sendiri apatah lagi untuk membangunkan manusia keseluruhannya supaya mereka menjadi umat yang disebut oleh Allah sebagai umat yang terbaik.

Marilah kita menyedari bahawa Orde Baru dunia hari ini adalah merupakan hasil dan cetusan strategi penjajah yang bertujuan membendung kebangkitan Islam dan seterusnya menyekat umat Islam daripada kembali kepada ajaran agama Islam yang menjadi punca keagungan kita.

Negara-negara umat Islam hari ini tidak mempunyai kebebsan dalam menyusun hal ehwal ekonomi,pentadbiran,pendidikan dan media.Mereka masih di belenggu oleh peraturan yang ditetapkan oleh penjajah.Namun pada masa ini peraturan-peraturan penjajah itu dilaksanakan oleh anak bangsa kita yang menerajui sistem pemerintahan dan mereka bercakap dalam bahasa kita.

Dalam masa yang sama,gerakan Islam yang berjuang untuk membebaskan umat ini daripada cengkaman penjajah terpaksa berdepan denagan pelbagai halangan dan rintangan sama ada dari dalam atau luar.

Sekalipun mereka bergerak dengan cara aman seperti menggunakan kaedah demokrasi,kebebasan hak asasi manusia,keadilan dan berbagai syiar yang dimomokkan oleh orde baru pada masa ini,gerakan Islam masih dihalang daripada menegakkan syiar-syiar tersebut kecuali dengan syarat mengubah Islam atau mengenepikan asas-asas keimanan dan akhlak sebagaimana yang dikehendaki oleh mereka.

Jika kita mengimbau kembali sejarah umat Islam,kita dapati umat Islam telah berjaya memberi sumbangan yang besar kepada umat manusia khususnya pada zaman keagungan Islam.Islam telah mengemukakan sistem yang terbaik dalam menguruskan sumber manusia sama ada dalam pembentukan individu,sistem pemerintahan,pengurusan ekonomi dan sebagaimya.

Islam juga berjaya memberi definisi yang jelas mengenai nilai-nilai akhlak,keadilan,persaudaraan antara sesama manusia dan hak-hak asasi manusia.Dari sudut yang lain Islam juga berjaya manusia sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Antara keistimewaan Islam adalah kesesuaiannya dengan fitrah dan naluri manusia.Oleh itu Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia sama ada melalui peraturan-peraturannya atau kisah-kisah yang dipaparkan supaya ia menjadi panduan kepada manusia dalam semua urusan mereka.

Sungguhpun gerakan Islam disekat daripada bergerak secara bebas kita masih boleh berdepan secara aman dalam negara yang demokrasi.Dari sudut yang lain,kita juga tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan secara terang-terangan bagi menghalang kemenangan kita di setiap tempat.

Dalam perayaan memperingati pembukaan kota Istanbul oleh orang-orang Turki yang keluar dari Asia Tengah dengan dipimpin oleh Muhammad al-Fatih r.h. mengingatkan kita kembali bahawa Islam akan memuliakan mereka yang berpegang dengan ajarannya.

Sebagaimana Allah telah memuliakan masyarakat Arab yang keluar dari tengah padang pasir dan berjaya menewaskan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi.

Kebenaran akan terus kekal dan akan mendapat pertolongan dari Allah.Mereka membuat perancangan jahat sedang Allah juga merancang untuk mereka dan ingatlah bahawa Allah tidak akan menyalahi janji kepada para Rasul Nya dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bertindak.

Tuesday, March 9, 2010

PAS KINI DI ZAMAN PENGISIAN BUKAN RETORIK

Setelah berumur lebih setengah abad,PAS kini berada di zaman pengisian,bukan lagi di zaman retorik,ucapan panas membakar semangat semata-mata,walaupun ucapan seperti itu ada kalanya masih diperlukan untuk meniupkan semangat perjuangan,apabila suasana perjuangan Islam kelihatan semakin lesu dan tidak bermaya.

Juga zaman kini bukan lagi zaman di mana rakyat menelan bulat-bulat kenyataan demi kenyataan,ucapan demi ucapan yang hanya bersifat umum,umpamanya mengenai kesyumulan dan keadilan Islam dan sebagainya.Zaman kini rakyat menuntut fakta yang boleh menyakinkan mereka.

Untuk memenuhi tuntutan ini keupayaan pendukung PAS untuk melakarkan kesyumulan dan keadilan Islam sangat diperlukan.Dalam hubungan ini,kesyumulan dan keadilan Islam itu mesti diperlihatkan di kalangan warga PAS terlebih dahulu supaya menjadi teladan yang menyakinkan.

Zaman kini masyarakat menuntut pendukung PAS,terutamanya pemimpinnya,memiliki ilmu,bukan saja ilmu akidah dan syariat tetapi menguasai ilmu ekonomi,pendidikan,politik moden dan sebagainya.Di samping berketerampilan ,terdedah dengan masyarakat yang lebih luas.

Saya menambil contoh betepa pentingnya pendukung PAS menguasai ilmu ekonomi,sekurang-kurangnya di peringkat asas,seperti memahami isu GST-cukai barangan dan perkhidmatan-yang akan menambah beban rakyat apabila dilakanakan nanti.

Isu GST ini sangat penting dan perlu diketahui oleh semua lapisan rakyat kerana ia akan melibatkan senua peringkat rakyat,bukan sekadar orang bandar atau yang terlibat dalam sektor ekonomi saja.

Sebenarnya,PAS mempunyai pendukung yang mampu membawa parti Islam ini ke era polotik Islam kontemporari,malah menjadi penyumbang kepada kepimpinan ulamak di dalam PAS yang ternyata selama ini telah memberikan sumbangan besar dan sangat berjasa.Ertinya,kepimpinan PAS tidak tandus dengan para pendukung dan pemimpin berwibawa dalam semua bidang kehidupan.

Sementara itu jika kita meneliti perkembangan terkini masyarakat, ternyata perubahan besar telah berlaku dalam ruang pemikiran mereka,antara lain,di sebabkan kesan daripada kemudahan maklumat yang diperoleh daripada dunia siber yang menghantarkan maklumat dengan mudah dan cepat.

Oleh itu,sebagai organisasi politik dan gerakan Islam moden,PAS sangat perlu menyediakan pemimpin dan pendukung yang luas ilmu dan pembacaan,terdedah kepada masyarakat luas,mampu berkomunikasi dan berhujah dengan ilmu,bukan emosi.

Dalam hujah dari nas Al-Quran,Sunnah dan hadis serta kitab ulamak muktabar,tetap relevan,namun mestilah dihuraikan dalam konteks masyarakat kini,justeru kerana nas-nas tersebut sentiasa sesuai dengan semua zaman dan keadaan.

Pendukung PAS tidak lagi sekadar beretorik,bercakap secara generalise atau umum,tetapi mesti dengan fakta.Inilah tuntutan zaman kini,zaman PENGISIAN BAGI PAS.
PERUMPAMAAN ORANG BUTA DAN CELIK DALAM MENERIMA KEBENARAN.

Firmam Allah yang bermaksud: Bertanyalah kepada mereka,adakah sama orang yang buta dengan yang celik?tidakkah kamu mahu berfikir? (surah Al-An'am ayat 50).

Setelah Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan kebenaran Islam yang disampaikan Baginda s.a.w. dan sifat Baginda sebagai seorang manusia yang diutuskan sebagai Rasul,maka Allah Taala memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. bertanyakan orang kafir perbezaan antara orang yang buta dengan yang celik sebagai perumpamaan orang yang sesat dan mengikut petunjuk Islam.

Ertinya adakah sama sifat dan tingkah lakunya mereka yang sesat dengan mereka yang mendapat petunjuk Islam?

Sudah pasti tidak sama sekali,walaupun mereka bangsa atau keturunan yang sama dan warna kulit serta berbahasa dengan bahasa yang sama.

Begitu juga tidak sama orang yang memperjuangkan Islm dan mereka yang sebaliknya.Dengan sebab itu Allah turut menyifatkan mereka dalam ayat yang lain yang bermaksud "Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu wahai Muhammad perkara yang benar,sama dengan orang yang buta mata hatinya?sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang berakal sempurna."(surah Ar-Ra'du ayat 19)

Orang yang mahu memikirkan soal perbezaan antara kedua golongan tersebut hanyalah orang yang mempunyai akal yang sempurna yang boleh membezakan mana yang benar dan sesat.Justeru itu kesempurnaan akal seseorang manusia bergantung kepada sejauh mana dia menggunakan akal fikiran itu untuk mengenal pasti mana yang betul dan mana yang sesat,bukan berdasarkan hawa nafsunya sendiri.

Justeru Islamlah yang menjadikan akal manusia itu sempurna dan benar,tidak menyeleweng dari jalan yang sebenar yang perlu manusia ikut di dunia ini sebelum mendapat kebahagiaan di hari akhirat kelak.

Seterusnya Allah berfirman "Dan berilah amaran dengan A-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka pada hari kiamat"(surah Al-An'am ayat 51).

Dalam ayat ini Allah taala turut memerintahkan nabi Muhammad s.a.w. supaya memberi peringatan dan amaran dengan Al-Quran kepada mereka yang takut menghadapi Hari Akhirat supaya mereka sentiasa bertakwa kepada Allah di dunia ini dengan mematuhi segala perintahNya dan menjauhkan diri dari laranganNya.

Jangan pula ketika hidup di dunia menjadi manusia yang tidak sedar diri tentang tanggungjawab mengabdikan diri kepada Allah.

Yang penting adalah melaksanakan suruhanNya dan suruhan RasulNya supaya mereka dihimpunkan di akhirat di hadapan Allah dengan mendapat syafaat dan rahmat dariNya kerana kepatuhan tersebut.

Dalam ayat lain Allah menyifatkan mereka dengan firmannya "Sesungguhnya orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada kemurkaan Tuhan mereka."(surah Al-Mukminin ayat 57.)

Dalam ayat ini Allah Taala menerangkan perihal orang-orang yang beriman yang taat mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya,bahawa merekalah yang segera mengerjakan kebaikan dan berada di barisan depan dalan pencapaian kehidupan di dunia dan akhirat.

Allah juga turut berfirman "Dan takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soal jawab dan perhitungan amal pada hari akhirat."(surah Ar-Ra'du ayat 21)

Seterusnya Allah berfirman "Tiadalah bagi mereka seorang penolong pun dan tidak juga seorang pemberi syafaat yang lain dari Allah supaya mereka bertakwa."(surah Al-An'am ayat 51).

Ertinya tidak ada penolong yuang boleh memberi pertolongan untuk membebaskan diri mereka dari azab merlainkan Allah sahaja.Tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi syafaat kepada seseorang di hari akhirat kelak melainkan dengan izin Allah Taala.

Justeru kebergantungan manusia kepada Allah adalah sesuatu yang sudah pasti buat selama-lamanya sama ada di dunia mahupun di akhirat kerana manusia adalah hamba dan makhlukNya.